# Contact us # |
|
|
|
|
|
Tel |
: ++6 09 6974095 |
Fax |
: ++6 09 6978679 |
|
|
|
# Other Best Places # |
~ Redang Island |
~ Kapas Island |
~ Terengganu |
~ Kelantan |
|
Pembukaan
dan penempatan awal di Pulau Perhentian |
Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung
abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk
Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali
sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin
Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan
Pulau Perhentian sebagai satu petempatan. |
|
Asal Penduduk Pulau
Perhentian |
Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian
dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau
pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian
dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari
China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan
Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara
merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah
yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang
berasal dari Tanah Besar Semenanjung. |
|
Bagaimana Pulau Perhentian
Mendapat Nama |
Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama
yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal
dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura,
Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini
juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora
(Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh
kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal
yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian.
Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum
meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan
tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak
besar. |
|
Pentadbiran Pulau
Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri |
Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir
oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan Batin. Beliaulah
orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan orang-orang
di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang
pendekar yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta
mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.
Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir
Pulau Perhentian. Pada zamannya teraju pentadbirannya terletak di
Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu
oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin
dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan
keamanan dan kestabilan persekitaran pulau.
Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih
pula oleh adiknya iaitu Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian
Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan Teluk Dalam Pulau
Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi
kerana adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan
sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah
buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh
lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak
terkawal lagi, Batin Jamal pentadbir pulau pada masa itu mengambil
keputusan untuk berpindah.
Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah
berpindah ke Negeri Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri
Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini. Di Negeri Sanyanya (Kuala
Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal beberapa
lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya
teringin untuk kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan
dengan semua orang-orangnya, Batin Jamal mengambil keputusan untuk
kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari Negeri Sanyanya (Kuala
Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki
Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.
Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil
alih pula oleh Batin Deris. Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh
seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet. Batin Deris
dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan
keselamatan orang-orangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan
kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman, selepas kematian Batin
Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas
Batin Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib
dengan dibantu oleh panglimanya yang bergelar Panglima Kecik atau
dikenali juga dengan panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin Taliblah,
penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan
sekarang ini. Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua penduduk
Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan di sekitar awal abad
ke 20. Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau Perhentian
diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin yang
terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian.
Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1990. Selepas kematiannya
tidak ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau
Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung.
Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah
negeri iaitu Baginda Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini
dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi sehinggalah kepada
batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin
Mina berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan
Terengganu
Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan
Sulaiman telah terjalin hubungan antara Batin Mina dengan baginda
Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah hubungan istimewa
dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika
itu ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan
jajahan takluk baginda. Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah
baginda pura-pura sakit.
Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua
bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal dipanggil untuk mengubati
baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal
datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga sembuh.
Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi
oleh baginda.
Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai
ke pengetahuan Tengku Chik, Raja yang memerintah Besut pada masa
itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-Sultan Terengganu tentang
adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila berita
itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya
bomoh dipanggil untuk datang ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda.
Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya datang mengadap,
Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku Chik mula bersiap-siap
untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.
Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan
sebuah perahu kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya
diperbuat daripada sebidang tikar. Pada masa itu ialah musim tengkujuh.
Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh
untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan.
Setelah sampai di Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak
jauh dari Istana Maziah, beliau disambut oleh seorang wakil Al-Sultan
yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan Batin Mina memang
ditunggu-tunggu oleh pihak istana.
Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki
oleh Batin Mina mempunyai keanehan dan luar biasa pada pandangan
orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada sebatang kayu
dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai
yang menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki
oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi setelah ianya semakin hampir dengan
pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya adalah sebuah
perahu layar yang kecil sahaja.
Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah
berehat seketika, Batin Mina dititahkan mengadap Duli Yang Maha
Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh Baginda.
Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang
Mulia Sultan bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui
bahawa Baginda Al-Sultan sekadar ingin menguji kepandaian dan kehandalan
bomoh yang ada di serata negeri. Setelah Al-Sultan mengetahui bahawa
Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak sakit, Baginda
pun terus bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin
Mina. Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang
bomoh.
Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian
mendapat layanan istimewa daripada Baginda Al-Sultan Terengganu.
Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan memberi layanan
istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau
Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia
Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap menghormati Batin-Batin
Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang
Maha Mulia Sultan Zainal Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia
Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud
Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian.
Mengikut cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan
akan disambut dengan upacara penuh istiadat mengikut tradisi. Segala
tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin yang terakhir iaitu
Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan
di bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan
Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian
Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk
Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung
yang dilantik oleh masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang
Ketua Kampung mengetuai penduduk Pulau Perhentian.
|
|
Kegiatan Sosioekonomi Penduduk Pulau
Perhentian Di Awal Penempatan |
Diawal penempatan penduduk Pulau Perhentian
bekerja sebagai petani dan nelayan saradiri. Penduduknya bercucuk
tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan keluarga. Padi ditanam
di satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan di Teluk
Dalam, Pulau Perhentian Besar. Selain daripada padi, ubi kayu juga
ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi mengeluarkan hasilnya.
Sebagai sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu
menangkap ikan dengan menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau
Perhentian. Mereka pergi memancing dengan menaiki perahu-perahu
kecil yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang ditebuk. Segala
hasil tangkapan hanya cukup untuk keperluan keluarga mereka.
Bekalan makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung
jumlah penduduk yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina
ketua bagi penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah mengena
syarat kepada kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh di perairan
Pulau Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan berlindung di Pulau
Perhentian dikenakan cukai dalam bentuk makanan dan pakaian. Pada
masa itu kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu dikenali sebagai
'wakam' oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal layar
yang besar yang lebih dikenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan
membayar cukai, tindakan akan diambil. Barang-barang mereka akan
dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh di sekitar perairan pulau.
Jika sekiranya penguasa pulau pada masa itu iaitu Batin Mina dan
pembantu-pembantunya gagal mendekati kapal-kapal itu, tindakan lain
akan diambil. Mengikut cerita, pernah terjadi kapal-kapal dagang
Cina itu dihalang pelayaran mereka dengan membina beting pasir di
tengah laut bagi tujuan menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan
beting pasir itu dikatakan dibina dengan menggunakan ilmu kebatinan
oleh Batin Mina. Setelah pelayaran kapal itu tersekat, pedagang-pedagang
itu terpaksa tunduk dan membayar cukai kepada Batin Mina.
|
|
Bagaimana Penempatan Sekarang Di Buka
|
Penempatan sekarang asalnya satu kawasan yang
dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Di persisiran pantainya
adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau Perhentian ditinggalkan
sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan kemudian kembali
semula ke Pulau Perhentian, mereka tidak kembali menetap di Teluk
Dalam. Apabila kembali semula ke Pulau Perhentian dari Kuala Besut
(Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan penempatan
yang baru. Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.
Pada masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat
ini adalah kawasan yang ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian
kerana ianya dikatakan berhantu. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan
Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum ianya dibuka, orang kampung
takut mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing di laut. Ini
adalah kerana ada semacam orang yang melambai-lambai di tepi pantai,
pada hal pada masa itu masih belum ada penghuni lagi di Pulau Perhentian
Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah
ianya dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan dapat diatasi
dan ketakutan penduduk pun hilang.
SEBENARNYA, apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari
Kuala Besut (Negeri Sanyanya), tidak semua mereka yang kembali itu
tinggal di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Ada di antara mereka
yang tinggal di Pulau Perhentian Besar tetapi tidak di Teluk Dalam.
Ada di antara mereka itu menduduki dan menetap di Seberang Air Keruh,
Seberang Mat Daham, Batu Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di Pulau
Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan dan perkelahan
yang menarik pada masa ini.
Selain daripada itu, ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau
Perhentian Kecil. Dari kajian dan cerita yang diperkatakan oleh
pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerah di beberapa
tempat di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.
Tetapi penduduk Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam
kerana tempat itu dikatakan berhantu dan tidak sesuai untuk didiami.
Penduduk Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal
abad ke 20 iaitu pada zaman pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab
menyatukan dan mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu
kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua penduduk Pulau Perhentian,
tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian
Kecil menetap di satu penempatan sahaja iaitu di Pasir Hantu iaitu
penempatan sekarang. Semenjak semua penduduk Pulau Perhentian menetap
di satu penempatan tidak ada lagi penduduk di sini yang tinggal
berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan sekarang
di bawah pentadbiran enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal
hinggalah batin yang terakhir sekali iaitu Batin Sidek. Sehinggalah
sekarang ini, penduduk Pulau Perhentian tinggal di satu tempat dan
segala kemudahan asas senang disalurkan kepada semua penduduk.
|
|
Pulau Perhentian Semasa Jepun |
Semasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang
dunia kedua iaitu di sekitar 1941 hingga tahun 1945, Pulau Perhentian
tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau Perhentian dijadikan
pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk menyerang
lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal
tentera Jepun berlabuh dan berkubu sementara di Pulau Perhentian.
Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang
kampung. Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda.
Ini adalah kerana tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga
muda ini untuk dijadikan buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan
diri dari tertangkap, mereka melarikan diri ke atas bukit dan memasuki
hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari terpaksa bermalam
di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan tua
yang masih tinggal di rumah masing-masing secara sembunyi-sembunyi.
Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang melarikan
diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera
Jepun.
Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau
Perhentian sepertimana yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar
Semenanjung. Semua ternakan dan makanan yang tidak sempat disembunyikan
dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa yang cuba melawan akan diseksa
dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang bersembunyi keluar
dari tempat persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam tahun
1945. Setelah Jepun mengaku kalah baharulah orang-orang kampung
menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum pendudukan
tentera Jepun.
|
|
Pulau Perhentian Zaman Sekarang |
Sekarang Pulau Perhentian sedang pesat membangun.
Segala kemudahan asas yang ada di Tanah Besar terdapat di sini walaupun
tidak secanggih yang terdapat di Tanah Besar. Penduduk Pulau Perhentian
hampir mencapai angka seribu orang. Kehidupan mereka kini tidak
lagi susah dan perit sebagaimana beberapa dekad yang lalu. Mereka
tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Dengan adanya kemudahan eletrik 12 jam, penduduk di sini mampu memiliki
dan mengikuti perkembangan semasa melalui peti televisyen dan tidak
lagi tertutup kepada dunia luar. Boleh dikatakan hampir setiap keluarga
memiliki peti televisyen dan setiap rumah diterangi lampu letrik.
Di samping tenaga letrik penduduk Pulau Perhentian juga mendapat
kemudahan bekalan air paip yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Perkampungan Pulau Perhentian kini menjadi sebuah perkampungan yang
lebih tersusun kerana adanya beberapa fasa perumahan yang dibina
oleh kerajaan di samping beberapa fasa lagi yang dalam pembinaan.
Apabila semua projek perumahan kos rendah yang dibina itu siap,
Pulau Perhentian akan menjadi satu perkampungan yang cantik, kemas
dan tersusun. Dalam tempoh beberapa tahun lagi Pulau Perhentian
tidak akan ada lagi rumah-rumah di tepi pantai yang menyesakkan
persekitaran.
Selain dari itu, Pulau Perhentian kini mempunyai beberapa kemudahan
asas yang lain, iaitu sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak tempatan,
sebuah klinik untuk memberi rawatan dan kemudahan kesihatan kepada
penduduk kampung sebelum dihantar ke pusat kesihatan besar di Tanah
Besar. Sebuah pondok polis didirikan untuk memberi kemudahan kepada
orang ramai yang memerlukan pertolongan.
Sejak penghujung dekad 70an, pelancong dari dalam dan luar negara
tidak putus mengunjungi Pulau Perhentian. Ramai pelancong luar negara
mengunjungi Pulau Perhentian kerana udaranya yang bersih, pantainya
yang cantik dengan pasir putih bersih serta persekitaran pulau yang
menarik. Oleh kerana kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara
kian meningkat, penduduk kampung merebut peluang yang ada dengan
menyediakan keperluan untuk para pelancong. Banyak rumah tumpangan
didirikan untuk disewakan kepada pelancong. Bot-bot untuk kemudahan
pelancong pergi dan balik dari Pulau Perhentian juga disediakan.
Perkembangan ini telah menjadikan penduduk Pulau Perhentian mempunyai
pilihan dalam mencari rezeki untuk keluarga. Dari segi taraf hidup,
penduduk Pulau Perhentian kini mempunyai taraf hidup yang sama dengan
apa yang dirasakan oleh penduduk di Tanah Besar.
|
|
Lagenda Di Pulau Perhentian
|
Batin Mina
Batin Mina merupakan orang yang pertama membuka satu kawasan penempatan
di Pulau Perhentian. Beliau dikatakan berasal dari Johor-Riau. Oleh
kerana adanya campurtangan Inggeris dan Belanda di situ, beliau
telah bertindak menentang campurtangan itu. Pada masa itu, Belanda
menguasai kepulauan Indonesia dan Inggeris menguasai Tanah Melayu.
Beliau dikatakan begitu marah dengan campurtangan itu dan bertindak
menentang dasar itu.
Beliau dikatakan bersama orang-orangnya telah bertindak menyerang
kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda yang berlayar di sekitar
perairan Riau. Tindakannya menyerang dan merampas barang-barang
dagangan yang dibawa oleh kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda
itu telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan Inggeris. Pihak
Belanda dan Inggeris menganggap Batin Mina dan orang-orangnya sebagai
lanun. Tetapi tindakan Batin Mina dan orang-orangnya tidak begitu
berkesan untuk menghalang dua kuasa imperialis itu dari menguasai
gugusan Kepulauan Melayu. Ini adalah kerana dua kuasa itu mempunyai
kelengkapan senjata yang baik.
Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan pihak Belanda dan Inggeris
menyerang balas dan menyerang kubu-kubu yang digunakan oleh Batin
Mina dan orang-orangnya. Batin Mina yang telah dianggap lanun oleh
dua kuasa barat itu telah menjadi buruan pihak Belanda dan Inggeris.
Batin Mina dan orang-orangnya telah lari dari buruan pihak Inggeris
dan Belanda itu ke Timur Semenanjung. Kemudian membuka penempatan
dan menetap di Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar.
Beliau dikatakan seorang yang terkenal kerana mempunyai ilmu kebatinan
yang tinggi. Seorang pendekar yang terbilang serta mempunyai ilmu
kebal. Beliau juga adalah seorang bomoh yang handal. Di Pulau Perhentian
beliau dikenali sebagai Batin. Kehandalan Batin Mina sebagai bomoh
memang terkenal kerana dikatakan telah berjaya mengubati penyakit
sehingga sampai ke istana.
Pada masa beliau menjadi batin di Pulau Perhentian, bekalan pakaian
dan makanan tidak mencukupi untuk penduduk yang di bawah tanggungjawabnya.
Langkah yang diambil oleh Batin Mina ialah dengan meminta bekalan
makanan dan pakaian dari wakam atau tongkang besar Cina yang berlabuh
di sekitar perairan Pulau Perhentian. Segala pemberian itu bolehlah
dianggap sebagai cukai dan jaminan keselamatan kepada kapal-kapal
dagang yang berlabuh.
Tetapi ada di antara kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu enggan
memberikan apa yang diminta oleh Batin Mina. Tindakan pedagang itu
menimbulkan kemarahan Batin Mina. Dengan menggunakan ilmu kebatinan
yang ada padanya, beliau dikatakan telah bertindak menghalang pelayaran
kapal-kapal dagang itu dengan membina beting-beting pasir di tengah
laut. Oleh kerana adanya beting pasir itu, kapal-kapal tidak dapat
meneruskan pelayaran dan terpaksa tunduk kepada Batin Mina. Tindakan
Batin Mina itu telah menyebabkan kapal-kapal dagang yang berlindung
di Pulau Perhentian membayar cukai kepada Batin Mina.
Panglima Dayak
Beliau adalah merupakan panglima kepada Batin Mina. Panglima Dayak
bertindak sebagai pembantu kepada Batin Mina dari segi keselamatan
penduduk Pulau Perhentian pada masa itu. Beliau tidak terus menjadi
panglima kepada batin yang selepas Batin Mina. Mengikut cerita,
beliau dikatakan ghaib selepas sahaja kematian Batin Mina.
Mengikut cerita, jika ada orang yang tersesat di atas bukit Pulau
Perhentian Besar akan terjumpa dengannya dan beliau akan membantu
atau membawa ke satu tempat yang dinamakan Pinang Seribu. Dari cerita
lisan yang diperkatakan, pernah terjadi orang yang tersesat di atas
bukit Pulau Perhentian akan ditemui di tempat yang sama sahaja dengan
mereka yang tersesat sebelumnya. Ini terjadi kerana mereka yang
tersesat itu dikatakan telah dibawa oleh Panglima Dayak. Setelah
mereka yang tersesat itu dibawa ke beberapa tempat dengan tidak
disedari oleh mereka yang tersesat itu, kemudian ianya akan dihantar
ke satu tempat yang dikenali dengan Pinang Seribu. Orang yang mencari
akan menemui mereka yang tersesat itu di tempat yang sama setiap
kali kejadian sesat ini berlaku. Panglima Dayak ini dikatakan masih
ada lagi hingga sekarang ini. Wallahualam.
|
|
Metos Di Pulau Perhentian |
Pada zaman dahulu, di Pulau Perhentian tinggal
seekor naga yang sangat besar. Naga itu dikenali dengan panggilan
Naga Pulau Berjuang. Ia tinggal di satu tempat yang sekarang ini
dikenali dengan Tanjung Basi, Pulau Perhentian Besar. Pada satu
ketika, Naga Pulau Berjuang turun ke laut kerana berjuang menentang
seekor naga lain yang cuba mengganas dan menenggelamkan Pulau Perhentian.
Tempat naga itu turun meninggalkan kesan di atas bukit Pulau Perhentian.
Jalan yang dilalui oleh naga itu sekarang ini dikenali dengan nama
Jalan Naga. Satu perkara lagi yang menarik di Pulau Perhentian ialah
tentang ular yang ada di atas pulau ini. Tidak ada ular bisa tinggal
di atas pulau ini. Semua ular yang tinggal di pulau ini tidak mempunyai
bisa. Dari apa yang diperkatakan, yang ada di atas pulau ini hanyalah
ular sawa sahaja. Mengikut cerita, ular bisa tidak boleh tinggal
di atas pulau ini kerana terdapatnya keladi lekir dan akar cina
putih yang mujarab sebagai penawar bisa ular. Walau ular itu bisa
semacam manapun, ianya akan menjadi tawar kerana adanya dua jenis
tumbuhan itu. Oleh kerana itulah, semua ular bisa tidak berani tinggal
di atas Pulau Perhentian. Akar cina putih mendapat nama kerana,
ianya digunakan oleh kelasi-kelasi kapal dagang Cina untuk membuat
tali sauh dan tali kapal. Akar cina putih ini adalah sejenis tumbuhan
yang menjalar dan kukuh sebagai tali. Oleh kerana ianya sering digunakan
oleh tongkang-tongkang dan kapal-kapal dagang cina, lalu ianya diberi
nama sebagai akar cina putih. Sebagaimana yang telah diceritakan,
Pulau Perhentian memang bebas dari ular yang berbisa. Apa yang dimaksudkan
di sini ialah di atas pulau itu. Mengikut cerita, memang tidak ada
ular bisa di atas pulau itu melainkan ular laut saja. Cuma yang
ada sejenis ular sahaja iaitu ular sawa. |
|
Sumber: |
Berita Darul Iman Mac - Okt. 1995
oleh : Yusof Bin Awang Su
Pemenang Ketiga: "Sayembara Penulisan Tempat Sejarah Di Terengganu" |
|
|